Penceramah bebas yang ditahan kerana dipercayai merogol remaja perempuan berusia 14 tahun, akan direman sehingga minggu depan selepas polis Kuala Lumpur menyiasat kes melibatkan suspek.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Azmi Abu Kassim, mereka akan menerima suspek daripada polis Selangor hari ini.

“Reman mungkin sehingga minggu depan untuk tujuan tuduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi, menurut Harian Metro.

Semalam, media melaporkan penceramah terbabit akan diserah ke Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi tindakan lanjut selepas tempoh reman lima hari terhadap suspek berusia 30an sebelum ini tamat.

Suspek dilaporkan telah ditahan pada Isnin lalu kerana dipercayai terlibat dalam kes rogol remaja perempuan berusia 14 tahun.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor S Sasikala Devi Subramaniam, suspek ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor pada 4.50 petang.

Katanya, suspek direman lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.