Tiada pilihan lain selain terpaksa mengadakan himpunan Bersih 6 jika kerajaan terus menafikan hak anak muda untuk mengundi, kata Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin.

Beliau berkata, dengan gerak kerja yang terpaksa dilakukan sekumpulan anak muda semata-mata mahu menuntut kerajaan mengembalikan hak yang dirampas, jelas menunjukkan kerajaan hari ini sedang memperlekehkan kematangan dan kewibawaan mereka.

“Kita hari ini berada di persimpangan; mahu melawan pandemik dengan SOP #duadarjat yang terus merundung malang sebahagian besar rakyat, atau berjuang semahunya membela hak demokrasi yang dirampas?

“Jawapan saya, kita harus bersatu dan gerak bersama-sama. Punca kedua-duanya ini adalah sebuah kerajaan #PNipu dan mementingkan diri.

“Jika akhirnya pilihan yang ada hanyalah ‘Bersih 6’, dengan kepatuhan SOP yang ketat – kita yakin ribuan rakyat Malaysia akan kembali ke jalanraya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas tindakan seramai 18 orang anak muda yang memfailkan tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia.

Kumpulan itu yang mewakili gerakan Undi 18, menuntut dua deklarasi mahkamah iaitu pertama; bahawa tindakan kerajaan menangguhkan pelaksanaan penurunan umur pengundi daripada 21 ke 18 adalah tidak rasional, tidak sah, tidak berpatutan dan merupakan pencabulan hak pengundi.

Dan yang kedua; bahawa pengundi berumur 18 ke 20 tahun berhak mengundi menjelang Julai 2021.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *