Polis telah memanggil individu terlibat dalam penganjuran Himpunan Barang Naik oleh Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna di luar pintu Masjid Jamek Kampung Baru di sini, pada Jumaat lalu.

Kesemua individu dari parti AMANAH hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pagi ini untuk dirakam percakapan kerana perhimpunan bantah kenaikan harga barang yang diadakan penganjur tidak mendapat kebenaran atau permit daripada polis untuk berkumpul.

Antara yang dilihat hadir pada perhimpunan tersebut termasuk Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Dr Mohd Hatta Ramli; Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad dan Ahli Majlis Pimpinan Pusat Amanah, Faiz Fadzil.

Kesemua pemimpin AMANAH yang masing-masing ditemani oleh peguam mereka dilihat tiba di IPD Dang Wangi pada 10.30 pagi dan meninggalkan balai itu pada 11.00 pagi.

Pada himpunan itu, Amanah memberikan tempoh 11 hari kepada kerajaan untuk menunaikan tiga tuntutan bagi mengatasi isu kenaikan harga.

Pengarah Biro Mobilisasi dan Biro Pengguna Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, tiga tuntutan itu adalah mengembalikan subsidi makanan yang dipotong oleh kerajaan, menghapuskan sistem permit import (AP) makanan dan menuntut kerajaan mengadakan satu sidang khas Parlimen.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.