PRESIDEN Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu meminta semua pihak agar menghormati keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung isu pengampunan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, ini kerana kuasa tertinggi yang mempunyai hak untuk membuat keputusan berhubung perkara tersebut adalah Yang di-Pertuan Agong.
“Setiap individu mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan sebagaimana hak yang diberikan dalam perlembagaan.
“Namun dalam konteks organisasi, pandangan individu tidak mewakili organisasi atau parti melainkan ianya adalah keputusan rasmi parti tersebut yang diputuskan dalam mesyuarat parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kelmarin, Amanah merayu kepada Yang di-Pertuan Agong supaya permohonan pengampunan terhadap Najib ditolak.
Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Abd Samad berkata, pengampunan untuk Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga seluruh dunia berhubung sikap serta pendirian terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
Ujarnya, perkara itu akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Amanah, PKR atau DAP yang bergabung di dalam Pakatan Harapan (PH) tertakluk kepada keputusan gabungan itu sekiranya sesuatu perkara bercanggah dengan keputusan parti.
“Begitu juga dalam konteks Kerajaan Perpaduan yang terbentuk hari ini, keputusan di peringkat gabungan Kerajaan Perpaduan mengatasi keputusan parti atau pakatan politik masing-masing dan ianya perlu diutamakan.
“Pemimpin Amanah berhak menyuarakan pandangan, tetapi mereka terikat dengan keputusan parti. Inilah ‘normal practice’ dalam mana-mana organisasi,” katanya.
Bagaimanapun, Mohamad Sabu berkata, semua pihak yang menyuarakan pandangan dalam isu ini sayang kepada Kerajaan Perpaduan.
“(Justeru) Kerajaan Perpaduan perlu memberi fokus kepada khidmat kepada rakyat sebagaimana yang diamanahkan,” katanya.