Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa memberi gambaran beliau sedia untuk berdepan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi merebut jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti akan datang.

“Insya-Allah,” katanya ringkas menerusi jawapan balas terhadap komen seorang pengikut di laman Facebooknya semalam.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, Annuar mempersoalkan apakah yang sedang berlaku dalam pimpinan BN sehingga wujud kenyataan bercanggah dengan keputusan yang dicapai sebelum ini.

Seorang pemilik akaun Facebook dengan nama Zat membuat komen mencabar Annuar melawan Ahmad Zahid bagi jawatan presiden jika anak jantan, bukannya sekadar berani bersuara di media sosial.

Dalam komen berasingan, Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata orang tidak berlawan sebelum tiba masanya.

“Insya-Allah, orang tak berlawan sebelum sampai masa. Kata nak bercerai bila Pilihan Raya… Pilihan Raya tak tahu bila.. ha ha,” tulisnya.

Tangkap layar Annuar menjawab komen pengikut Facebooknya

Baru-baru ini, Annuar mempersoalkan kenapa sudah diputuskan tidak berkerjasama dengan Bersatu sekarang, sedangkan ada usul sedemikian yang perlu dibawa ke Perhimpunan Agung Umno terlebih dahulu.

Annuar berkata sekiranya Umno berada dalam kerajaan cuma sehingga Parlimen dibubarkan dan ketika PRU belum diputuskan, ia akan memberi kesan buruk kepada Umno.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *