Biasanya kita hanya mendengar benda hidup seperti manusia dan haiwan sahaja yang dijangkiti virus Covid, tetapi lain pula kisah kali ini apabila 3 sampel aiskrim di China disahkan positif Covid.
Pihak berkuasa kesihatan kini berusaha mengesan orang-orang yang mungkin bersentuhan dengan aiskrim itu. Sebanyak 4,836 kotak yang dijangkakan tercemar, sementara 2,089 daripadanya kini telah ditutup dan diasingkan.
Pihak berkuasa kini dalam proses menyiasat 65 kotak yang telah dijual di pasaran tempatan setelah keputusan ujian ke atas aiskrim itu didapati positif pada Khamis minggu lepas.
Setiap kotak mengandungi enam produk aiskrim yang dibuat menggunakan susu tepung dari Ukraine dan whey powder dari New Zealand.
Menurut pakar, virus Covid mungkin dapat bertahan di dalam aiskrim kerana suhu yang sejuk dan kandungannya yang mempunyai lemak.
Ahli virologi yang berpusat di University of Leeds berkata kemungkinan virus itu berpunca dari seorang individu, hasil daripada masalah kebersihan di kilang pengeluaran.