Seorang wanita berusia 35 tahun yang putus cinta empat bulan sebelum majlis perkahwinannya memilih meneruskan majlis itu bersendirian sebagai satu cara menghargai dirinya sendiri.
Jurulatih kehidupan, Meg Taylor Morrison dari Atlanta, Georgia mengimpikan majlis perkahwinan pada Halloween (31 Okt) 2020 dan tekad memenuhinya selepas mendapat tahu mengenai ‘majlis mengahwini diri sendiri’.
Menurutnya, pilihan itu bukan sekadar untuk merawat hati luka, sebaliknya juga satu peringatan supaya sentiasa fokus terhadap diri dan keperluan sendiri.
Majlis itu dihadiri 10 sahabat dan keluarga Meg di satu Airbnb yang ditempah khas dengan semua yang mengambil bahagian turut mematuhi garis panduan Covid-19 yang ketat, lapor Daily Mail.
“Acara ini adalah cara untuk mengingatkan diri saya supaya menyayangi diri sendiri. Selepas saya dan bekas tunang berpisah dengan baik empat bulan sebelum perkahwinan kami, saya terfikir yang saya tidak perlukan pasangan untuk memenuhi impian ini.
“Memanglah terfikir juga apa pandangan orang terhadap saya dan mungkin ada yang menganggap saya pentingkan diri sendiri kerana umpama ‘kemaruk’ mahu berkahwin. Tetapi itu bukan sebab saya memilih melakukannya,” katanya.
Majlis berlangsung seperti perkahwinan biasa dengan pengantin perempuan berjalan ke arah pentas untuk mengatakan ikrarnya, namun tanpa pengantin lelaki sebaliknya cermin menjadi ‘pengganti.’
“Selepas berakhir saya memotong kek dan setiap hadirin menyuap saya sedikit demi sedikit. Kami kemudian menari dan memesan makanan Thai.
“Semua sahabat dan keluarga saya begitu memberi sokongan malah membawa hadiah dan memang melayan saya seperti pengantin,” katanya.
Meg mencadangkan sesiapa saja boleh mengadakan majlis perkahwinan sendiri kerana ia sekadar satu cara peringatan serta komitmen untuk menyayangi dan menjaga diri sendiri.
“Saya memakai cincin perkahwinan ini setiap hari dan ia menjadi peringatan untuk diri.
“Menyayangi diri sendiri adalah perkara paling utama dengan itu baru saya boleh mewujudkan hubungan sihat dengan orang lain tidak kiralah dengan rakan, keluarga atau pasangan saya selepas ini,” katanya.