PELAJAR yang menconteng belakang baju dengan perkataan kesat terhadap guru hingga tular di media sosial baru-baru ini, memohon maaf atas perbuatan bodohnya.

Sambil menjelaskan motosikal yang ditunggangnya dalam gambar yang tular bukan miliknya, pelajar Tingkatan Lima di Kota Bharu itu berharap semua pihak tidak lagi menyebarkan foto berkenaan.

“Saya mengaku salah secara terbuka atas kesalahan saya yang menulis perkataan mencarut guru di belakang baju sekolah.

“Motosikal yang saya tunggang juga bukan milik saya, pemilik motosikal adalah kawan kepada abang saya. Pemilik motosikal tidak bersalah, yang bersalah adalah saya.

“Pemilik motosikal juga bekerja di luar Kelantan. Sekali lagi saya memohon maaf dan meminta semua pihak tidak menyebarkan gambar pemilik motosikal kerana dia tidak bersalah,” katanya yang memuat naik status di Facebook.

Pemilik motosikal dikenali sebagai Muhammad Afiq, 22, berkata motosikal itu ditinggalkan di kampung untuk kemudahan adik-adiknya.

Dia memaklumkan hanya tahu motosikal miliknya tular sejak kelmarin dan pelajar yang menunggang motosikal tersebut adalah rakan kepada adiknya.

“Saya sudah berusia 22 tahun dan sudah lima tahun meninggalkan alam persekolahan. Ramai yang keliru mengatakan saya yang menunggang motosikal berkenaan sehingga gambar saya turut tular di Facebook.

“Saya dimaklumkan oleh adik, kawannya mahu meminjam motosikal untuk ke sekolah kerana motosikalnya rosak. Jadi atas belas kasihan, adik saya beri motosikal berkenaan.

“Cuma agak terkejut apabila tular dengan tulisan menghina guru di baju sekolahnya. Apapun saya mohon supaya orang ramai memadam gambar saya,” katanya yang turut membuat laporan polis.

Terdahulu hari ini, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata pihaknya akan mengambil tindakan terhadap pemilik motosikal yang tular yang mana seorang pelajar membonceng tanpa memakai topi keledar sambil bajunya tertera kata-kata kesat kepada guru.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *