Kuala Lumpur: Ketua Penerangan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Luqman Long mengesahkan sudah meletakkan jawatan sebagai Pegawai Tugas-Tugas Khas (Strategik) kepada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurut Luqman, notis mengenai peletakan jawatan itu sudah dimaklumkan kepada pejabat Menteri Belia dan Sukan itu sejak dua minggu lalu, yang akan berkuatkuasa dalam tempoh sebulan selepas penyerahan notis berkenaan.

“Saya dah maklum untuk berhenti sejak minggu pertama bulan April 2023 lagi. Notis sebulan, pejabat pun dah tahu lama,” katanya di Twitter, malam tadi.

Sementara itu, portal berita FMT yang memetik seorang pegawai Hannah, mengesahkan Luqman sudah menghantar notis peletakan jawatan itu, namun tidak memaklumkan alasan beliau berbuat demikian.

Peletakan jawatan itu seolah-olah memperlihatkan hubungan renggang antara Muda yang juga antara rakan kerjasama dalam kerajaan perpaduan, dengan Pakatan Harapan (PH), dengan pemimpin Muda kerap mengkritik atau menzahirkan rasa tidak puas hati pada pentadbiran kerajaan secara terbuka.

Antara isu yang dibangkitkan Muda termasuklah rasa tidak puas hati kerana tidak dijemput menghadiri mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan, selain tindakan PH yang masih belum memutuskan pendirian menerima atau menolak permohonan Muda untuk menjadi sebahagian parti komponen PH.

Isnin lalu, Luqman menerusi satu twit dilihat menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merancang mengadakan rumah terbuka Aidilfitri di Kedah, Kelantan dan Terengganu, berbanding hanya di kediaman rasmi Perdana Menteri di Putrajaya seperti kelaziman.

Perancangan mengadakan rumah terbuka di tiga negeri ditadbir pembangkang itu dilihat berkait dengan pilihan raya negeri (PRN) yang akan berlangsung di enam negeri, termasuk Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak lama lagi.

“Bayangkan reaksi jika Ismail Sabri (bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) anjurkan sambutan raya di enam, tujuh negeri,” kata Luqman dalam twit berkenaan.

  • HM

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *