Siti Nuramira Abdullah, wanita yang didakwa menghina Islam semasa persembahan di kelab komedi baru-baru ini bersama pasangannya, telah mengumpul kira-kira RM40,000 bagi membayar wang jaminan mereka.

Dana tersebut berjaya dikumpul hasil sumbangan orang ramai menerusi anjuran kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL), lapor portal Free Malaysia Today (FMT).

Peguam Siti Nuramira, R Sivaraj berkata sumbangan telah mencecah RM40,000 setakat pagi tadi dan mana-mana sumbangan tambahan selepas ini akan dipulangkan semula kepada penderma.

“Kedua-dua penjamin mereka akan pergi ke mahkamah Petaling Jaya dan Kuala Lumpur sekitar jam 11 pagi,” katanya menurut portal tersebut.

Sivaraj turut berterima kasih kepada orang ramai yang menyumbang bagi membantu pasangan tersebut membayar ikat jamin ketika berdepan tuduhan di mahkamah.

Jumaat lalu, Sivaraj memaklumkan LFL akan membantu Siti Nuramira dan pasangannya, Alexander Navin Vijayachandran, untuk mengumpul dana diperlukan bagi menjamin mereka melalui sumbangan orang ramai menggunakan akaun bank LFL.

Rabu lalu, Siti Nuramira mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan kerana menimbulkan ketidaktenteraman dalam kalangan masyarakat Islam semasa persembahan di Kelab Komedi Crackhouse di Taman Tun Dr Ismail, pada 4 Jun lalu.

Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali membenarkan Siti Nuramira diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Pada hari sama, Navin, 38, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas dua pertuduhan memuat naik kandungan menghina di media sosial.

Bagi pertuduhan pertama, Navin didakwa berkongsi hantaran di akaun Instagramnya pada 5 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa berkongsi kandungan melalui akaun YouTubenya pada 16 Jun dengan niat untuk menghina orang lain.

Hakim Mahkamah Sesyen Azrul Darus membenarkan Navin diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.