PERIKATAN Nasional (PN) akan menggunakan formula sama seperti Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu dalam pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata PAS akan kekal bertanding di kerusi yang sudah dimenangi, manakala Bersatu pula akan bertanding di kerusi dimenangi Umno.

Itulah asas perbincangan kita sepertimana PRU sebelum ini. Mana-mana kerusi dimenangi Umno kita beri kepada Bersatu bertanding.

“Manakala di kawasan yang PAS menang kita kekalkan calon PAS bertanding,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hari Sayyidatina Khadijah (HSK) 2023 di Dewan Besar Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan, Pengkalan Chepa, hari ini.  

Beliau bagaimanapun berkata, mungkin akan ada beberapa pengubahsuaian strategi di negeri pada peringkat akhir nanti.

“Buat masa ini, senarai pendek calon PN di Kelantan untuk PRN sudah diserahkan kepada Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, untuk dimuktamadkan

“Setiap kerusi akan ada tiga calon, jadi bergantung kepada Menteri Besar untuk memilih siapa yang paling layak dan akan ada 30 peratus muka baharu yang ditampilkan pada PRN kali ini.

“Muka baharu yang kita maksudkan tidak semestinya orang muda, tetapi juga calon yang tidak pernah bertanding tetapi diyakini layak untuk mewakili parti,” katanya.

Mohd Amar turut mengulas dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bahawa pemimpin parti Kerajaan Perpaduan tidak pernah berbincang untuk membuat tawaran kepada PAS.

Beliau berkata, Kerajaan Perpaduan tidak mengajak PAS, tetapi ada individu dalam kerajaan berkenaan yang menawarkannya.

“Sebagai contoh, veteran DAP, Lim Kit Siang sendiri ada membuat kenyataan untuk berdamai dengan PAS, manakala Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memberitahu dia sedia berbincang bersama PAS.

“Jadi, apa yang dimaksudkan dengan tiada individu yang menawarkan kepada PAS, sedangkan kedua-dua individu itu adalah ahli Kerajaan Perpaduan.

“Insya-Allah, PAS akan kekal bersama PN dan sasaran kita untuk PRN adalah bagi memenangi semua kerusi di enam negeri,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan bekas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa bagi menyertai PAS, Mohd Amar berkata, ia akan diputuskan oleh Jawatankuasa PAS Pusat dalam mesyuarat bulan depan.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *