PAS tidak boleh menerima keputusan Bersatu melabelkan Umno sebagai musuh utama Perikatan Nasional (PN) yang perlu dilawan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Walaupun tidak secara jelas menujukan kepada Bersatu, namun kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan hari ini, dikeluarkan beberapa hari selepas Tan Sri Muhyiddin Yassin mengisytiharkan Umno sebagai musuh utama PN.

Takiyuddin berkata, kenyataan seumpama itu tidak wajar dan janggal sekiranya pihak yang dilabelkan sebagai musuh utama tersebut adalah rakan muafakat dalam kerajaan yang dipimpin bersama.

“Sehubungan itu PAS tidak boleh menerima pendirian mana-mana pihak yang melabelkan kumpulan Melayu Islam yang lain sebagai musuh utama.

“Apatah lagi dalam perkara yang melibatkan kedudukan dan kuasa orang Islam dalam pemerintahan sesebuah negara yang majoritinya terdiri dari umat Islam seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN, mengingatkan bahawa Barisan Nasional (BN) adalah musuh utama gabungan itu yang perlu dilawan pada PRU15.

Sehubungan itu, bekas Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu itu berkata, parti komponen dalam PN perlu bergerak sebagai satu pasukan dan memiliki hala tuju yang sama, bukan mengeluarkan kenyataan atau pendirian bertentangan.

Kenyataan Muhyiddin itu sekali gus dilihat bercanggah dengan pendirian PAS yang sebelum ini menjelaskan musuh parti itu dalam PRU15 adalah Pakatan Harapan (PH), bukannya Umno.

Dalam perkembangan sama, Takiyuddin menegaskan PAS sentiasa komited untuk melaksanakan segala usaha ke arah mencapai hasrat penyatuan ummah terutamanya di kalangan rakyat berbangsa Melayu dan beragama Islam.

Justeru katanya, seluruh pimpinan dan ahli PAS dipinta supaya akur serta memberikan wala’ kepada arahan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin.

“Ia agar semua pihak yang inginkan perpaduan dan kestabilan negara tercinta ini menghayati dan merealisasikan agenda penyatuan ummah.

“Malah, PAS sentiasa yakin hanya dengan perpaduan antara parti-parti utama Melayu-Islam dalam negara ini sahaja dapat menjamin terbentuknya sebuah pemerintahan yang stabil, adil dan berkebajikan kepada semua rakyat pelbagai kaum, agama, bangsa dan budaya,” katanya. – MP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *