PAS membuat keputusan muktamad iaitu tetap kekal bersama Perikatan Nasional (PN) – gabungan bersama Bersatu, Gerakan SAPP dan STAR – selain tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri yang ditadbirnya sekarang.
Keputusan itu dicapai pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan di Kuala Lumpur, hari ini (13 Oktober), menjelang Pilihan raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata parti itu juga akan memuktamadkan pembahagian kerusi dan mengukuhkan lagi kerjasama antara parti di dalam PN.
“Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diadakan pada hari ini, 13 Oktober 2022, telah membuat keputusan memperkukuhkan kerjasama dalam Perikatan Nasional untuk menghadapi PRU-15, atas prinsip penyatuan ummah.
“Memuktamadkan perbincangan kerusi-kerusi di negeri dengan Perikatan Nasional, katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat itu.
Abdul Hadi berkata senarai calon daripada PAS negeri juga akan diserahkan kepada Majlis Syura Ulama untuk dinilai.
Selain itu, katanya PAS juga berpendirian untuk tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu, dan Kedah.