CHUKAI: Mana-mana pemimpin dan penceramah PAS yang mengeluarkan kenyataan ekstrem sehingga mencemarkan imej parti itu ketika berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan ‘digam’ daripada berceramah.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata tindakan itu diambil berdasarkan konsep dan dasar yang diamalkan parti itu.

Beliau berkata, PAS tidak mengamalkan cara yang kasar, sebaliknya menggunakan pendekatan demokrasi aman sejak dahulu lagi.

“Kita pantau mereka kerana PAS ada dasar iaitu menerang bukan menyerang….itu konsep yang kita bawa.

“(Jadi apabila ada) mana-mana kalangan kita yang mengambil pendekatan menyerang kita ‘gam’ (dan) hentikan daripada ceramah,” katanya.

Ketika ditanya jumlah pemimpin yang dikenakan tindakan sedemikian, Abdul Hadi yang juga Timbalan Pengerusi PN berkata, terdapat beberapa individu dikenakan tindakan berkenaan.

Beliau berkata, tindakan sedemikian ada kalanya berlaku kerana provokasi dan mereka seharusnya tidak terikut dan perlu bijak menangkis soalan diberikan atau berhati-hati ketika membuat ceramah.

Sebelum ini, tular video kempen berdurasi 28 saat mengenai Ketua Pemuda PAS Kawasan Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir, yang mendakwa mereka yang mengundi Barisan Nasional (BN) atau Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 akan masuk neraka.

Selain itu, klip video berdurasi 44 saat yang dirakam dalam satu program di Kemaman pada 4 November lalu turut tular di media sosial apabila pelakon filem remp-it, Zul Huzaimy mengeluarkan kenyataan mahu menyembelih orang kafir harbi.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *