Berdepan sekatan untuk mendaftar parti mereka, Pejuang mungkin mempertimbangkan untuk bertanding pada pilihan raya umum berikutnya dengan menggunakan logo Amanah.
Pemimpin Amanah juga mengesahkan bahawa idea itu ada dikemukakan, tetapi belum ada perbincangan rasmi mengenai perkara itu.
Marzuki, yang merupakan bekas timbalan menteri luar negeri, mengatakan ini hanyalah salah satu daripada beberapa idea awal.
“Sekarang fokus kami adalah mendaftarkan Pejuang … dan ini (cadangan guna logo Amanah) adalah jika ada pilihan raya (sebelum kami dapat mendaftar Pejuang),” kata Marzuki.
Ketika ditanya apakah parti itu juga mempertimbangkan untuk bergabung dengan Warisan, senator itu secara ringkas mengatakan bahawa mereka terbuka untuk bekerjasama dengan semua orang dalam pembangkang.
Sementara itu, naib presiden Amanah, Hasanuddin Yunus, yang mengetahui cadangan Pejuang, mengatakan bahawa pihaknya terbuka terhadap idea itu sekiranya dapat memberi manfaat kepada negara.
“(Mereka boleh) mohon kepada Amanah dan kami bersedia untuk berbincang dan berikan penilaian dan akhirnya membuat keputusan,” katanya.
Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub turut mengatakan perkara sama.
“Setakat ini, saya tidak mendapat permohonan rasmi … tetapi kami terbuka untuk menerimanya. (Sekiranya ada permintaan) Amanah akan berbincang dan kami tidak mempunyai masalah dengan ini,” katanya.