Akar umbi Umno akan menolak kerjasama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) jika matlamat Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu menjadi Perdana Menteri.
Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook miliknya.
“Pada hemat saya, kita terbuka untuk pertimbang kerjasama dengan sesiapa sahaja asalkan mereka ikhlas dan jujur dalam kerjasama tersebut.
“Dan ianya juga bergantung kepada penerimaan akar umbi Umno dan pucuk pimpinan parti.
“Saya tidak rasa akar umbi Umno akan terima kerjasama ini jika tujuan Anwar semata-mata kerana dia ingin jadi Perdana Menteri,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, jika ini tujuannya, maka ia sama niat seperti Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin dahulu, iaitu untuk gunakan Umno untuk mencapai cita-cita mereka untuk jadi Perdana Menteri.
Oleh itu, katanya, jika Anwar ikhlas untuk bekerjasama dengan Umno, maka beliau perlu terima hakikat bahawa tidak boleh memaksa parti ini untuk terimanya sebagai Perdana Menteri.
“Sebelum ini kita telah cuba selama 22 bulan bersama Perdana Menteri PH dan 12 bulan bersama Perdana Menteri PN, atau 34 bulan bersama Perdana Menteri Bersatu dan ianya telah gagal untuk membawa kestabilan politik dan ekonomi.
“Perdana Menteri PKR (PH) tidak akan merubah keadaan ini,” katanya.
Pada pandangan beliau, Perdana Menteri perlu datang dari parti yang paling besar dengan akar umbi Melayu Islam yang paling ramai, iaitu Umno.
“Ini kerana, negara ini masih lagi majoriti Melayu dengan kumpulan terbesarnya umat Islam, dan selama ini Umno yang berterusan banyak memperjuangkan kumpulan ini tanpa meminggirkan atau mengenepikan hak-hak kaum-kaum lain.
“Ini amat penting untuk kestabilan politik justeru kestabilan ekonomi dan sosial negara,” katanya.