Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan bahawa Pas kini adalah parti kafir berikutan tindakannya bekerjasama dengan Umno dan parti bukan Islam demi memperoleh kedudukan.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, hingga kini Pas tidak pernah menarik balik dakwaan dibuat suatu ketika dulu, bahawa orang yang tidak bersama parti itu adalah kafir, maka dengan tindakan kerjasama terbabit, ia menggambarkan bahawa mereka bukan lagi parti Islam.

“Parti Pas ini kita dapati tindakan mereka pelik sikit kerana ia berbeza dengan pendirian mereka dulu. …dahulu Pas kata Umno parti kafir dan macam-macam tuduhan dibuat.

“Tapi tanpa menafikan bahawa Umno itu kafir, mereka bekerjasama dengan kafir…dulu berjuang untuk Islam dan tidak boleh bekerjasama dengan kafir sebab akan jadi kafir.

“Tapi mereka bekerjasama dengan kafir, jadi mengikut tafsiran Pas, Pas sekarang ini parti kafir selagi mereka tak hapuskan dakwaan yang dibuat bahawa orang yang tidak bersama Pas itu adalah kafir,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu berkata pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Pejuanita Malaysia, ‘Aspirasi Wanita Merdeka: Penentu Hala Tuju Negara’ di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada April 1981, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang melalui Amanat Haji Hadi didakwa mengkafirkan Umno sehingga menyebabkan orang Melayu ketika itu berpecah-belah.

Bagaimanapun pada 2019, Pas telah menjalinkan kerjasama dengan Umno di bawah gagasan Muafakat Nasional (MN).

Dalam pada itu, Dr Mahathir berkata, Pas kini dilihat seolah-olah sebuah parti yang oportunis sekali gus mengenepikan prinsip apabila peluang mendapatkan habuan jawatan kepada mereka.

“Jadi kita tidak tahu apa sebabnya Pas ditubuh sama ada untuk Islam atau hendak jadi wakil rakyat dan menteri besar…jadi wakil rakyat dan menteri besar dapat gelaran YB (Yang Berhormat), YAB (Yang Amat Berhormat) dan dapat duit.

“Nampak tumpuan bukan pada Islam tetapi nak pegang jawatan untuk dapat duit,” katanya. 

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.