Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti dokumen berkaitan untuk menyiasat Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang dikatakan terlibat dalam skandal rasuah.

Pengarah Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM, Timbalan Pesuruhjaya Mohamad Zamri Zainul Abidin berkata siasatan masih dilakukan untuk tindakan susulan.

“Setakat ini SPRM sedang meneliti dokumen-dokumen berkaitan yang mengaitkan pemimpin berkenaan dengan kes rasuah.

“Kita masih belum menetapkan tarikh untuk beliau hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi direkod keterangan.

“Berkenaan perkara itu, ia bergantung kepada siasatan kita nanti,” katanya memetik laporan Sinar Harian, hari ini. Beliau bagaimanapun, tanpa menjelaskan siapa pemimpin kanan UMNO yang dimaksudkan.

Semalam, media melaporkan satu siasatan telah dimulakan SPRM terhadap seorang pemimpin kanan UMNO yang dikatakan menerima rasuah.

Siasatan itu dilakukan SPRM selepas satu laporan diterima agensi itu daripada Ketua Penerangan UMNO Cawangan Setapak Jaya 1A, Bahagian Setiawangsa Kuala Lumpur, Datuk Halim Rahmat baru-baru ini.

Laporan yang dibuat pada 6 April lalu meminta SPRM menyiasat dakwaan oleh sebuah portal berita yang mengaitkan tuduhan rasuah dengan Mohamad berkaitan projek pembalakan dan pajakan tanah di Negeri Sembilan sekitar 2008 hingga 2010, wajar disiasat semula selepas isu sama dibangkitkan sebuah portal berita.

Dakwaan Mohamad atau Tok Mat menerima rasuah itu pernah dibangkitkan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April 2019 setelah Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan, Datuk Zulkefly Mohamad Omar mengetengahkannya.

Kes itu dilaporkan berlaku pada 2008, dengan Mohamad didakwa melanggar undang-undang perbankan selepas memindahkan RM10 juta ke London melalui pengurup wang.

Bagaimanapun, Mohamad menjelaskan pemindahan wang itu untuk tujuan pembelian pangsapuri di London dan menafikan sebarang salah laku. AD

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *