AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim memberi bayangan bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka diadakan pada pertengahan tahun ini.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) mana yang ingin ditandinginya.
Namun, nama beliau dikatakan disebut antara calon yang bakal diketengahkan pada PRN di Selangor bagi kerusi DUN Semenyih, Selangor.
Shahidan juga dilihat kerap kali turun di Semenyih sebelum ini sekali gus menguatkan lagi desas-desus bekas Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis itu bakal bertanding di kawasan berkenaan.
Menurut Shahidan, beliau tidak menolak kemungkinan bertanding di Selangor sekiranya kepemimpinan Perikatan Nasional (PN) memberi kepercayaan kepada beliau.
“Kalau (pucuk pimpinan) PN memerlukan saya bertanding, saya akan lawan tetapi PN mesti kuasai semua negeri yang bakal diadakan PRN itu.
“Jika sumbangan saya dapat mewujudkan gelombang yang ‘dahsyat’ apa salahnya.
“Namun begitu, sekiranya saya bertanding pun, bukan niat saya hendak pegang jawatan tetapi niat hendak pastikan PN menang,” katanya hari ini.
Sekiranya Shahidan bertanding pada PRN nanti, ia adalah percubaan pertama beliau bertanding di luar Perlis.
Komposisi pengundi di DUN Semenyih menyaksikan lebih 60 peratus pengundi Melayu manakala pengundi Cina sekitar 16 peratus manakala India (13 peratus).
Dalam PRN yang dijadual tidak lama lagi, Selangor antara negeri yang menjadi sasaran PN sekali gus untuk menamatkan penguasaan Pakatan Harapan sejak 2008. – Malaysiapost