Umno hari ini mengumumkan pemecatan Shahidan Kassim sebagai pengerusi badan perhubungan Perlis ketika ura-ura mengenainya hangat diperdebatkan dalaman Umno selepas dilihat sering berbeza pandangan dengan pimpinan tertinggi parti Melayu itu.
Umno melalui presidennya turut mengumumkan penggantian Menteri Besar Perlis Azlan bin Man bagi menyandang jawatan tersebut berkuatkuasa hari ini.
“Adalah dimaklumkan bahawa jawatan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Shahisan bin Kassim digantikan Azlan bin Man yang juga menteri Besar Perlis.
“Pertukaran ini berkuatkuasa mulai hari ini,” kata kenyataan yang ditandatangani Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.
Shahidan adalah antara pemimpin Umno yang lantang mengkritik kepimpinan pusat parti itu berhubung keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu.
Sebelum ini, beliau turut berkata tidak bimbang jika tindakan diambil terhadap Umno Perlis di bawah pimpinannya.
Perhimpunan agung Umno yang berlangsung pada 27 Mac lalu turut menyaksikan Shahidan “diboo” perwakilan ketika memberikan ucapan gara-gara dilihat tidak sekata dengan Majlis Tertinggi Umno.
Ketika ini dalaman Umno berdepan pemberontakan beberapa pemimpinnya selepas sebuah klip video tersebar menunjukkan mereka mula mengkritik cara Zahid menguruskan perhimpunan agung tersebut.
Dalam satu klip dipercayai dirakamkan beberapa hari selepas perhimpunan agung Umno, naib presidennya, Ismail Sabri Yaakob turut dilihat menyerang Zahid berhubung ucapan penggulungannya.
Ismail menyifatkan perhimpunan pada Mac lalu adalah yang paling teruk pernah dihadiri beliau dan turut mempertikaikan ucapan presiden yang tidak menjelaskan hala tuju parti bagi berdepan pilihan raya akan datang.
Sebelum Shahidan, Annuar Musa juga adalah antara pemimpin Umno yang dipecat daripada jawatan tertinggi Barisan Nasional selepas dilihat tidak sehaluan dengan Zahid.