Baru berpeluang menonton temubual Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, dengan saluran televisyen Astro Awani sejurus selepas berakhirnya Perhimpunan Agung UMNO pada malam tadi.
Kenyataan beliau bahawa “Dalam darurat kalau tarik diri pun tak ada apa-apa makna” dan “Dalam darurat kerajaan tak akan tumbang” ini pastilah membolehkan keputusan UMNO untuk menarik diri dari kerajaan semalam lebih difahami.
Mandat yang diberikan kepada Majlis Tertinggi ialah ia akan menentukan waktu dan ketika sesuai untuk arahan parti dikeluarkan kepada Ahli-Ahli Parlimen dan Menteri UMNO menarik sokongan kepada Kerajaan Perikatan Nasional.
Seperti dinyatakan oleh seorang pemimpin UMNO, wujud cadangan dari jurucakap negeri bahawa tarikh penarikan sokongan seharusnya bulan Ogos, iaitu sebaik sahaja tamat darurat, dan ini juga disebut oleh Dato’ Seri Utama Haji Mohamad.
Terfikir juga saya: Jika tidak kerana pertimbangan “Dalam darurat kalau tarik diri pun tak ada apa-apa makna” dan “Dalam darurat kerajaan tak akan tumbang” ini apakah UMNO telah menarik diri dari kerajaan secara serta merta semalam?
PETIKAN TEMUBUAL TIMBALAN PRESIDEN UMNO DENGAN ASTRO AWANI
“Nak kata kita nak tarik diri, tak tau lah, kerana dalam darurat sekarang nak tarik diri nak buat apa? Dalam darurat kalau tarik diri pun tak ada apa-apa makna. Dalam darurat kerajaan tak akan tumbang. Kalau UMNO tarik diri pun maka boleh jadi DYMM Yang di-Pertuan Agong akan melantik interim government. So kita kena fikir banyak-banyak, bak kata orang tua-tua, berfikir biar panjang, bertindak biar bijak.”
Dari FB Penganalisa Politik Dr Kamarul Zaman