AHLI Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi perlu mencermin diri sendiri sebelum menuduh PAS menumpang rumah orang lain.

Bendahari PAS Pusat, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata Mohd Puad telah lupa ketika Muafakat Nasional (MN) ditubuhkan pada 2019, Umno baru sahaja mengalami kekalahan teruk pada Pilihan Raya Umum 2018.

Katanya, Umno telah kehilangan kuasa di peringkat Pusat buat pertama kali dalam sejarah manakala PAS ketika itu mengekalkan kuasa di Kelantan dan merampas Terengganu.

Justeru Iskandar menegaskan, PAS tidak terdesak atau kempunan untuk menjadi kerajaan.

“PAS ‘memungut’ Umno yang berada dalam keadaan terdesak dan mengalami trauma. PAS hanya mementingkan perpaduan ummah dan bukan jawatan dalam kerajaan.

“Apabila MN ditubuhkan, Umno telah dijemput untuk bersama tetapi penyertaaan Umno ini tidak menjadi kenyataan,” katanya menerusi kenyataan.

Iskandar berkata, hari ini walaupun Umno telah berpakat dengan Pakatan Harapan (PH) dan membentuk kerajaan, namun hubungan ahli-ahli PAS dengan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi masih baik.

Ini kerana katanya, PAS tahu ramai dalam kalangan ahli Umno tidak bersetuju dengan keputusan pimpinan untuk membentuk pakatan tersebut, sebaliknya mengutamakan perpaduan ummah.

“Puad juga perlu sedar dengan realiti siapa yang sebenarnya menumpang kerana Umno hanya memiliki 26 kerusi Parlimen walhal PH 82 kerusi,” katanya.

Semalam Mohd Puad berkata tiada pihak yang mahu menjadikan PAS sebagai rumah tumpangan sebaliknya parti itu sendiri mencari peluang untuk menumpang rumah orang lain demi kuasa.

Adun Rengit itu berkata, walaupun PAS begitu rigid berhubung soal agama dan prinsip tetapi parti itu sanggup menggadaikan asas perjuangannya demi berkongsi kuasa dalam kerajaan. – Malaysiapost

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *