Krisis dalaman Parti Bangsa Malaysia (PBM) semakin panas apabila Datuk Larry Sng yang mendakwa masih menjadi presiden parti menggantung dua pimpinan tertinggi yang juga orang kuat ‘presiden’ Datuk Zuraida Kamaruddin.

Larry mengumumkan penggantungan yang berkuat kuasa serta-merta itu di Facebooknya, hari ini, susulan isu pelantikan Zuraida sebgai ‘presiden’ yang didakwanya tidak mengikut prosedur.

“Selaras Perlembagaan PBM Fasal 60 (iii), saya bertindak menggantung Setiausaha Agung, Nor Hizwan Ahmad dan Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid berkuat kuasa serta-merta.

“Ini susulan mesyuarat majlis tertinggi yang diadakan 7 Oktober dijalankan tanpa arahan daripada saya sebagai Presiden parti. Mesyuarat diadakan ketika pembentangan bajet dan saya hanya dimaklumkan hasil mesyuarat selepas diadakan.

“Keputusan mesyuarat itu dikatakan telah melantik Zuraida sebagai presiden, sedangkan jawatan itu tidak pernah dikosongkan,” katanya yang menegaskan masih Presiden PBM yang sah mengikut rekod Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).

Kedua-duanya merupakan bekas ahli PKR dipercayai orang kuat Zuraida.

Pada 7 Oktober lalu, Ahli Parlimen Ampang itu diumumkan telah dilantik sebagai presiden baharu PBM setelah diputuskan Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM.

Mengulas lanjut, Larry menemplak permainan politik yang menyebabkan kekeliruan dalam kalangan ahli sekali gus menjejaskan kepimpinannya.

“Oleh itu, jawatan ini akan digantung sehingga jawatakuasa disiplin melihat perkara ini selepas pilihan raya.

“Buat sementara tugas Setiausaha Agung akan diambil alih oleh timbalannya, Jenny Chiew,” katanya.

Sebelum ini, Larry menegaskan beliau tidak akan meletakkan jawatan sekiranya pilihan raya bakal berlangsung dalam masa terdekat.

“Sekiranya Parlimen bubar dalam tempoh beberapa hari ini dan tarikh pilihan raya ditetapkan, saya akan menandatangani watikah kerana secara rasmi saya presiden. Jadi, saya kata, biarkan dulu fasa tidak menentu berlalu sebelum saya menyerahkan kepadanya.

“Surat watikah hanya boleh ditandatangani presiden yang namanya berada dalam rekod RoS atau kita akan berdepan risiko calon tidak layak bertanding pada hari penamaan calon, selain jika calon PBM menang ia akan dicabar mengikut perundangan,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *