PKR Perlis melabel bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai ‘tong sampah’ dan jangan menerimanya masuk sebagai ahli parti.

Naib Pengerusi PKR negeri, Asrul Nizan Abd Jalil menyifatkan Zahidi tidak layak berada dalam parti itu dan akan mengganggu hubungan antara parti-parti yang menyokong kerajaan campuran.

“Sebagai sebuah parti membawa agenda reformasi, kita amat mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin menyertai PKR khususnya untuk menjayakan agenda Malaysia Madani namun kita dah ada pengalaman sebelum ini di mana adanya pemimpin yang tergolong dalam kategori ‘tong sampah’.

“Berapa ramai dah pemimpin lawan yang kononnya tokoh dari parti tertentu masuk ke PKR dan diangkat sehingga mendapat jawatan namun akhirnya mereka khianat dengan menikam kita balik,” katanya dipetik laporan Utusan Malaysia.

Terdahulu, dilaporkan bekas Ahli Parlimen Padang Besar itu sedia untuk menyertai PKR bagi membantu menguatkan parti itu di negeri ini.

Zahidi yang juga bekas Ketua UMNO Bahagian Padang Besar memaklumkan beliau bersama 100 ahli lain akan menyerahkan borang keahlian PKR kepada Ketua Cabang PKR kawasan itu, esok.

Dalam pada itu, Asrul berkata, pemimpin dan ahli di peringkat akar umbi pastinya akan berkecil hati sekiranya Zahidi masih diterima sebagai ahli PKR dan langkah itu bakal mencederakan parti berkenaan.

“Zahidi merupakan bekas pemimpin UMNO dan sekiranya beliau diterima maka pastinya langkah itu akan menjejaskan hubungan dalam kerajaan Perpaduan sehingga memberi kesan di peringkat nasional,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *