Lim Guan Eng mendakwa Pakatan Harapan (PH) berpeluang mentadbir semula kerajaan jika gabungan parti itu memperoleh sokongan 15 peratus pengundi Melayu pada pilihan raya akan datang.

Memetik laporan akhbar Cina, Guan Eng berkata, ia berdasarkan satu dapatan kajian yang menyatakan situasi itu boleh berlaku sekiranya jumlah peratusan itu ditambah dengan pengundi bukan Melayu.

Katanya, ia sekali gus memungkinkan PH memperoleh 35 peratus undi dan mentadbir semula negara.

“Kajian itu turut menunjukkan jika BN keluar Perikatan Nasional (PN), BN mampu mendapat 35 lebih peratus undi Melayu dan masing-masing 15 peratus buat PH dan PN,” kata Guan Eng seperti dilapor Utusan Malaysia.

Menurut Guan Eng, walaupun PH ada banyak perancangan ketika mentadbir negara setelah memenangi PRU-14 lalu, tetapi PH tiada masa mencukupi untuk melaksanakannya.

Katanya, ini termasuk ada perancangan yang perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Sebagai contoh, katanya, janji kerajaan PH untuk mengurangkan tol sebanyak 20 peratus yang disusuli dengan penghapusannya, selain mula untuk mengurangkan harga petrol.

Pada masa sama, beliau berkeyakinan rakyat mula sedar sumbangan PH, justeru PH perlu menonjolkan prestasinya berbanding PN.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.