Apabila Presiden PAS Abdul Hadi Awang menyatakan parti itu tidak mahu terus menumpang kuasa dengan parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) iaitu Bersatu.

Ini bermakna PAS juga yakin untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti secara solo,  lebih kurang macam Umno.

Cepat sungguh PAS mahu meninggalkan Bersatu setelah gabungan dalam PN yang membolehkannya memerintah negeri Kedah.

Perlu diingat yang memenangi negeri Kedah sebelum ini ialah Pakatan Harapan (PH) dan disebabkan Bersatu meninggalkan gabungan itu, PAS dapat memegang tampuk pemerintahan negeri.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sejak kebelakangan ini cuba melonjakkan kredibiliti PAS dalam mentadbir negeri jelapang padi itu. 

Dalam banyak situasi melalui isu-isu popular sama ada yang mempunyai elemen politik atau pentadbiran negeri, Sanusi meletakkan dirinya sebagai pemimpin berjiwa rakyat. 

Latar belakang hidup keluarga yang susah membantu menyerlahkan kepimpinannya yang membela rakyat.  

Beliau sudah berjaya mengumpul markah hampir maksimum apabila mengambil sikap untuk tidak menuding jari kepada pemimpin terdahulu membabitkan isu Gunung Inas dan banjir lumpur di Kupang, Baling. 

Apabila beliau membentangkan bahawa kerajaannya dapat mengumpul rizab kewangan negeri kepada RM600 juta berbanding RM40 juta di zaman Mukhriz Mahathir, Sanusi menghantar mesej kepada Bersatu mereka boleh pergi bersendirian.

Atau jika mahu gabungan ini terus hidup, Bersatu kena akur bahawa PAS yang akan “call the shot”.

Realitinya jika PAS tidak berada dalam khemah PN, undi Melayu akan pecah lagi, kecuali mereka mengambil keputusan untuk hidupkan Muafakat Nasional (MN) untuk tentukan terus berkuasa di Kedah. 

Lebih teruk lagi jika strategi bersama MN memakan diri dengan memberi ruang kepada PKR untuk menang bersana rakan-rakannya dalam PH.

Dalam keadaan politik sekarang tidak ada parti yang mampu bergerak bersendirian kecuali ada faktor-faktor yang boleh mempengaruhi trend pengudian itu sendiri seperti apa yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor. 

Sanusi jangan kerap dan terlalu memperagakan kejayaan PAS di Kedah sehingga rakyat meluat dan hilang rasa hormat kepada sikap kesederhanaannya sebelum ini. 

Kita faham strategi politiknya untuk memberitahu lawan PAS boleh mentadbir Kedah lebih baik berbanding dengan pimpinan kerajaan negeri sebelum ini. 

Jangan sampai ke tahap memperlekehkan orang lain di mata rakyat walaunpun ia laku di pentas-pentas ceramah politik. 

Walaupun dikritik keras oleh lawan politiknya, sama ada dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) atau di lapangan, kredibilitinya tidak tercalar pun. 

Tetapi Sanusi kena berhati-hati dengan momentum politik yang sarat dengan “good vibes” tetapi kecundang di medan perang akibat sabotaj dan maklum balas yang palsu. 

Dalam satu perbualan saya dengan kalangan ahli strategi PAS beberapa bulan lalu, mereka membawa idea bahawa parti Islam itu tidak mahu terus dilihat dalam kepompong yang sama. 

Mereka tidak mahu PAS dilihat berkokok di Kelantan dan Terengganu sahaja, tetapi PAS sepatutnya juga ada pengaruh di negeri lain dan bukan parti yang merancakkan PRU semata-mata. 

Jadi PAS Kelantan, Terengganu dan Kedah patut bersikap lebih terbuka kepada parti lain supaya ia menjadi perintis gabungan dengan kerajaan negeri lain, walaupun ia menjadi minoriti dalam pentadbiran.

PAS dan kepimpinannya perlu selalu merujuk kepada tunjang perjuangan parti yang berlandaskan ajaran Islam dan jangan sekali-kali terlajak keluar daripada landasan itu.  

Fuad Abdul Rahman adalah wartawan veteran dan pernah berkhidmat dengan sebuah stesen televisyen swasta terkemuka.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.