VETERAN DAP, Lim Kit Siang percaya pengampunan Datuk Seri Najib tidak akan menguntungkan Umno sebaliknya memberi kelebihan kepada PAS dan Bersatu.
Malah, Kit Siang juga tidak percaya bahawa pengampunan berkenaan tidak akan dapat mengembalikan zaman kegemilangan Umno selepas kekalahan parti itu dalam dua Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.
Beliau berkata, satu-satunya cara untuk memulihkan Umno kembali ke zaman kegemilangannya ialah parti itu kembali kepada prinsip dan dasar asal pembinaan negara.
“Saya fikir menjadi satu kesilapan untuk percaya bahawa Umno hanya boleh kembali ke zaman kegemilangannya jika Najib diampunkan.
“Sebaliknya, saya percaya pengampunan Najib sekarang tidak akan menguntungkan Umno sama sekali sebaliknya hanya akan menguntungkan PAS dan Bersatu, selain menyebabkan keruntuhan Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kit Siang berkata, beliau tidak bersetuju dengan perkara dan sekiranya berlaku ia membuktikan Umno tidak akan mempelajari daripada kesilapannya pada PRU14 dan PRU15 lalu.
“Saya percaya satu-satunya cara untuk memulihkan Umno sebagai parti politik terkemuka ialah memainkan peranan utama dalam menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip dan dasar pembinaan negara asal untuk negara majmuk, yang mendapat sokongan empat presiden Umno terawal – Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Razak Hussein dan Hussein Onn.
“Ini termasuk mengetuai usaha memerangi rasuah di Malaysia dan memulihkan kebebasan kehakiman,” katanya.
Menurut Kit Siang lagi, Umno mula kehilangan sokongan rakyat pada PRU14 dan kemudiannya ditolak pengundi Melayu pada PRU15, menyebabkan parti itu ketinggalan di belakang PAS dan Bersatu.
Semalam, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa DAP takut sekiranya bekas Najib yang juga bekas Perdana Menteri dibebaskan melalui pengampunan diraja.
Menurut Mohd Puad, Najib dianggap sebagai ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) dan Anwar.
Mohd Puad berkata, mereka juga takut Umno akan menjadi bertambah kuat melalui gabungan Najib dan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Kit Siang Selasa lalu, yang memberi amaran bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar boleh tumbang sekiranya Najib dikurniakan pengampunan diraja.