Anwar Ibrahim berkata Najib Razak ada memberi surat akuan bersumpah (SD) untuk menyokong beliau menjadi perdana menteri namun dengan syarat kes mahkamah mensabitkan bekas perdana menteri itu “tidak diteruskan”.

Ketua pembangkang itu berkata, beliau bagaimanapun enggan menuruti kehendak Najib itu dan membayangkan ia sebagai punca dia gagal mendapat sokongan mencukupi untuk diperkenan menjadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir Mohamad.

Anwar mengesahkan pendedahan dibuat bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman baru-baru ini bahawa beliau saksi Umno menghantar SD menyokong beliau sebagai perdana menteri kepada Agong.

“Apa berlaku selepas itu adalah selepas ditandatangani saya diminta untuk memberi kepastian bahawa urusan mahkamah terutama melibatkan Najib itu tidak akan diteruskan dan saya harus guna kuasa saya selaku perdana menteri untuk memastikan ini tidak diteruskan.

“Saya tidak bersedia untuk melakukan itu. Oleh kerana keputusan tegas saya itulah maka Najib mengusulkan calon lain di saat akhir dan menafikan saya,” katanya dalam satu majlis di Port Dickson.

Anwar turut mendedahkan Najib dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi antara 15 pemimpin Umno yang membuat SD menyokong beliau sebagai perdana menteri.

Katanya, walaupun jumlah sokongan ahli Parlimen ketika itu cukup 120 dan membolehkan beliau menjadi perdana menteri, namun Pakatan Harapan menetapkan untuk menolak SD daripada Najib dan Zahid.

“PH pada ketika itu menyatakan walaupun jumlah sehingga 120, prinsip kita tak menerima SD daripada Najib dan Zahid tapi dia ada hak untuk tandatangan menyokong sesiapa.

“Jadi kita masih ada 118. Jadi walaupun jumlah cukup dan laluan untuk saya menjadi PM sudah cukup kuat, saya tidak bersedia untuk kompromi soal kebebasan badan kehakiman.”

Tajuddin dalam satu sidang media Isnin lalu mendakwa beliau saksi Umno menghantar SD menyokong Anwar sebagai perdana menteri, dalam satu pendedahan selepas digugurkan daripada MKT baru-baru ini.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata SD yang diuar-uarkan itu memang wujud meskipun pemimpin Umno melaungkan “No DAP, No Anwar”.

Susulan pendedahan itu, Anwar bagaimanapun menjelaskan, gabungan PH yang dipimpinnya kekal dengan prinsip tidak akan bekerjasama dengan Najib.

“Ada yang kata kita bersedia bersekongkol dengan kleptokrat, itu tidak benar. PH – DAP, Amanah PKR – tegas tidak akan bekerjasama dengan Najib. Itu jelas pendirian kita,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.