Isu membabitkan Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Santhara Kumar yang dikatakan memiliki dua kerakyatan masih belum terjawab.
Pelbagai persoalan dan andaian dibuat berhubung perkara itu, namun Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan, hingga kini belum membuat sebarang kenyataan mengenainya.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi, turut membangkitkan isu berkenaan dan menggesa kerajaan supaya mengarahkan wakil rakyat berkenaan segera pulang ke tanah air untuk disiasat berhubung dakwaan terbabit.
Beliau mengulangi pertanyaan dibuat oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengenai isu berkenaan.
“Adakah Edmund Santhara memiliki taraf Pemastautin Tetap (Permanent Resident/PR) negara New Zealand”?
“Jika benar Edmund Santhara ada PR New Zealand, adakah dia terpaksa bermastautin setiap tahun di sana dalam tempoh tertentu untuk mengekalkan status PR itu?” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Puad berkata, jika benar apa yang dipersoalkan oleh pelbagai pihak mengenai status kerakyatan ahli parlimen berkenaan, patutlah dia berdegil tidak mahu balik ke Malaysia.
“Dia perlu duduk di sana dalam tempoh tertentu untuk kekalkan status PR. Itu sebab dapat cuti lama 55 hari.
“Nampaknya PR lebih penting daripada tugas wakil rakyat di Segamat,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan tindakan kerajaan meluluskan cuti 55 hari Santhara yang jika benar tujuannya adalah untuk kekalkan status PR, maka pada pandangan rakyat kerajaan telah bersubahat.
“Perdana Menteri patut arah siasat. Bahkan arah Timbalan Menteri itu balik segera. Rakyat Segamat mesti marah,” katanya. MalaysiaPost