Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi mendakwa DAP takut sekiranya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan melalui pengampunan diraja.

Menurut beliau, Najib dianggap sebagai ancaman kepada Pakatan Harapan (PH) dan pengerusinya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mohd Puad berkata, mereka juga takut UMNO akan menjadi bertambah kuat melalui gabungan Najib dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Apatah lagi Ahmad Zahid makin kukuh dalam UMNO,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Beliau mengulas kenyataan veteran DAP, Lim Kit Siang Selasa lalu yang memberi amaran bahawa Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar boleh tumbang sekiranya Najib dikurniakan pengampunan diraja.

Mesyuarat MKT UMNO pada 7 April lalu sebulat suara memutuskan untuk memohon pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk Najib yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun berhubung kes SRC International.

Mohd Puad turut mengingatkan, DAP merupakan punca kerajaan PH di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tumbang selepas 22 bulan berkuasa.

Beliau menambah, DAP juga adalah alasan utama Presiden Parti Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin melakukan Langkah Sheraton.

“Sebenarnya DAP boleh jadi punca Kerajaan Perpaduan runtuh. Bukan Najib atau Ahmad Zahid.

“Bukan mudah UMNO betulkan dasar ‘No DAP No Anwar’. Gelagat DAP dan menterinya umpama bom jangka,” jelasnya. – MalaysiaGazette

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *