TAN Sri Noh Omar menafikan dakwaan beliau akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Malah bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu menafikan beliau telah menyertai mana-mana parti mahu pun PN untuk bertanding di salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.
Menurutnya, terdapat kekeliruan dalam laporan beberapa portal berita mengenai kenyataannya sebelum ini.
“Saya ingin membuat pembetulan di atas kekeliruan yang disiarkan oleh beberapa portal daripada kenyataan yang telah saya nyatakan semalam.
“Ada portal telah menyiarkan bahawa saya akan menjadi calon PN dalam PRN yang akan datang ini.
“Saya ingin jelaskan bahawa untuk menjadi calon mana-mana parti hanya pimpinan parti yang akan menentukan siapakah yang layak menjadi calon.
“Oleh kerana sehingga hari ini, saya belum lagi menjadi mana-mana ahli parti, maka adalah tidak betul kalau mengatakan saya akan menjadi calon dalam PRN yang akan datang ini,” katanya dalam hantaran video di Facebook miliknya hari ini.
Semalam, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu mengesahkan anaknya, Nurul Syazwani sudah menyertai Parti Bersatu sejak Februari lalu.
Malah, Syazwani juga kini memegang jawatan dalam sayap parti itu selepas menyertainya.
Noh juga mengesahkan bahawa anaknya itu tersenarai sebagai salah satu calon yang akan bertanding dalam PRN Selangor menggunakan tiket Bersatu.