Ketua Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil meramalkan Bersatu akan kalah semua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Melaka nanti.
“Dua kerusi yang PPBM (Bersatu) menang di Paya Rumput dan Telok Mas pada PRU-14 yang lalu adalah kerana pengundi PH dan pengundi bukan Melayu yang kali ini tidak akan mengundi Bersatu lagi.
“Di Telok Mas, Mohd. Rafiq (PPBM) mendapat 12,102 undi. Namun dua per tiga atau 8,000 daripada undi ini adalah dari undi Cina dan India. Tanpa undi ini beliau akan kalah dengan lebih 3,000 majoriti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menggesa supaya Bersatu tidak bertanding dalam PRN Melaka sebaliknya memberi laluan kepada PAS sahaja bertanding.
“Biar UMNO dan Pas sahaja yang melawan PH di kawasan-kawasan Melayu di bawah Muafakat Nasional (MN) supaya undi Melayu tidak pecah.
“Ini kerana seperti PAS di Sabah, jumlah sokongan dan akar umbi PPBM di Melaka adalah sedikit,” katanya lagi.
Pada PRU-14, UMNO hanya memenangi 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Bersatu yang ketika itu bersama Pakatan Harapan (PH) menang dua kerusi DUN, manakala PAS gagal merebut sebarang kerusi DUN.