KERAJAAN Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh musnah dengan sendiri sekiranya ia membuat dasar yang bertentangan dengan nilai-nilai asasnya, tegas Lim Kit Siang.
Veteran DAP itu berkata, unsur penting yang akan menentukan sama ada Ahli Parlimen Tambun itu akan dapat bertahan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10 adalah sama ada Umno dapat memainkan peranannya.
Menurutnya, Umno berperanan menetapkan semula dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip-prinsip asal sebuah negara Malaysia yang majmuk seperti yang termaktub dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
“Pandangan terhadap kerajaan perpaduan Anwar kelihatan positif, tetapi kerajaan ini perlu berhati-hati untuk tidak merosakkan dirinya sendiri dengan melaksanakan dasar-dasar yang bertentangan dengan nilai terasnya dan juga prinsip-prinsip asas pembinaan negara majmuk Malaysia yang didokong oleh empat presiden terawal Umno,” katanya.
Beliau berkata, selain itu Anwar juga perlu memasuki Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang, Selangor, Negri Sembilan, Kedah, Kelantan, dan Terengganu pada bulan Julai atau Ogos ini untuk menegakkan prinsip-prinsip awal negara.
“Prinsip itu adalah demokrasi, kedaulatan undang-undang, tadbir urus baik, dan “perpaduan dari kepelbagaian” yang dibawa oleh tiga orang Perdana Menteri terawal negara, Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, dan Tun Hussein Onn.
“Ini supaya Malaysia tidak menjadi sebuah negara teokratik, berpecah belah, gagal, dan kleptokratik menjelang ulang tahun ke-100 negara pada tahun 2057,” katanya.