TAN Sri Noh Omar didakwa terpaksa membuat ‘u-turn’ selepas menyedari kedudukan beliau sebagai calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor masih samar-samar.
Pengarah Komunikasi Umno, Datuk Lokman Noor Adam berkata, pengaruh bekas Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu tidaklah sekuat yang disangkakan sehingga boleh menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN.
“Jangan-jangan jadi kubur PN pula sudahlah,” katanya dalam siaran ‘live’ di Facebook semalam.
Mengulas lanjut, Lokman berkata akar umbi yang selama ini menyokong bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu kini tidak lagi menyokongnya sekali gus menjadi tanda tanya bagaimana Noh boleh mendabik dada mendakwa Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN.
Jelasnya, proksi Noh yang bertanding pada pemilihan Ketua dan Ketua Pemuda Umno Bahagian Tanjong Karang telah kecundang, hanya menang untuk jawatan Ketua Wanita dan Ketua Puteri sahaja.
“Proksi Noh Omar bertanding Ketua Pemuda kalah, tanding Ketua Bahagian kalah. Hanya untuk Ketua Wanita dan Ketua Puteri je menang.
“Jadi nak kata dia berpengaruh di akar umbi tak betul juga,” katanya.
Sebelum ini, beberapa media melaporkan Noh akan bertanding atas tiket PN dan akan menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN.
Bagaimanapun Noh menafikan laporan media itu.
“Ada portal telah menyiarkan bahawa saya akan menjadi calon PN dalam PRN akan datang.
“Saya ingin jelaskan bahawa untuk menjadi calon mana-mana parti, hanya pimpinan parti yang akan menentukan siapakah yang layak menjadi calon,” katanya.
Noh turut menjelaskan, beliau masih belum menjadi ahli mana-mana parti politik selepas dipecat Umno Januari lalu. – Malaysiapost