Kini beberapa siri peletakan jawatan dalam kalangan pemimpin atasan UMNO mula berlaku selepas tidak lagi percaya kepada kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, susulan kekalahan teruk parti itu.

Difahamkan, beberapa pemimpin atasan UMNO akan berbuat demikian dalam masa terdekat, setelah mereka tidak bersetuju dengan rancangan parti itu untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) yang turut dianggotai DAP.

Pada PRU-15 semalam (19 November 2022), Zahid telah membawa kekalahan teruk kepada BN apabila hanya memenangi 30 daripada 220 kerusi yang dipertandingkan.

Terdahulu, Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan meletak jawatan sebagai Ketua Penerangan UMNO, disusuli Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar.

Shahril turut menggesa Zahid meletak jawatan.

Noh juga mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor selepas hilang kepercayaan dengan kepimpinan Zahid.

Beliau yang ditemui pemberita di Menara Dato’ Onn di Kuala Lumpur berkata, bagaimanapun beliau masih Ahli Majlis Tertinggi (MT) dan akan hadir ke mesyuarat yang diadakan, namun tidak akan menghadiri Mesyuarat Biro Politik.

“Saya secara rasminya meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, bukan sahaja Presiden tak percaya pada saya tetapi saya pun sudah tidak percaya dengan kepimpinannya.

“Saya pun tadi minta jika Presiden berjiwa besar dia patut letak jawatan seperti mana (yang dilakukan oleh) Datuk Seri Najib bila kalah (dalam PRU14) dia dipaksa meletak jawatan. Biarlah orang baharu yang menguruskan UMNO,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *