Pemecatan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada jawatan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno adalah amaran kepada jawatankuasa pusat yang lain agar jangan terlalu menyokong Datuk Seri Ismail Sabri selagi Perdana Menteri tidak gugurkan kes ‘kluster mahkamah’.

Pengarah Operasi Pilihan Raya Bersatu Johor, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Che’gu Bard, berkata tindakan menjatuhkan Perdana Menteri dari bukan Umno tidak memuaskan hati kelompok ‘kluster mahkamah’.

“Walaupun jatuh (Tan Sri) Muhyiddin Yassin dan naik Ismail Sabri sebagai PM mereka tetap tidak puas hati kerana sasaran mereka bukan Umno berkuasa tetapi kes mahkamah mereka lepas dan bebas. 

“Beberapa hari lepas ‘Rottweil’ Kluster Mahkamah terus menyalak. (Datuk Seri) Jazlan Timbalan Ketua Umno Johor serang secara terbuka PM dengan menggelar Ismail Sabri PM paling lemah. 

“Terbaru Tajuddin Rahman digugurkan serta merta dari jawatankuasa pusat Umno. Umum tahu Tajuddin dilantik sebagai Duta ke Indonesia kerana beliau jawatankuasa Pusat Umno dan Ketua Penyokong Kerajaan di Parlimen Malaysia. Maka kenapa pula dipecat lepas dijadikan duta?,” katanya dalam hantaran Facebook.

Terdahulu media melaporkan Tajuddin dipecat daripada jawatan MKT Umno selepas surat yang ditandatangi Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tular.

Surat yang bertarikh 21 Jun itu turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Tajuddin atas khidmat baktinya selama ini.

Sementara itu, Che’gu Bard berkata, pemecatan Tajuddin juga membawa maksud agar tidak menyokong Perdana Menteri dan perlu mendesak untuk diadakan Pilihan Raya Umum (PRU).

 “Dalam keadaan rakyat terhimpit dan sesetengah pemimpin Umno seperti Tan Sri Annuar Musa , (Datuk Seri) Mahdzir Khalid, Khairy Jamaluddin  dan lain lain bersama gabung tenaga tanpa kira kepentingan kelompok berjuang memperbaiki keadaan namun malangnya kelompok #klustermahkamah yang sedang kuasai Umno hanya sibuk melepaskan diri masing masing dari keputusan kes korup mereka. 

“Malah sanggup sabotaj kerajaan sendiri dan serang PM dari Umno sendiri. Tidak hairan kerana Najib dan Zahid sendiri pernah salah guna kuasa secara sulit tandatangan surat hantar ke istana sokong Anwar jadi PM,” katanya. MP

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.