Ketua Pemuda Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, menyeru PAS agar ‘pegang erat’ Muafakat Nasional, yang menjadi ikatan antara kedua-dua parti.

Beliau menyifatkan kerjasama Umno dan PAS sebagai “mimpi terindah” yang didambakan ahli sejak berpuluh tahun lamanya.

“Jangan biarkan ikatan terlerai atau dileraikan pihak ketiga kerana belum tentu peluang sebegini menjelma lagi buat kali kedua,” katanya dalam ucapan dasar persidangan sayap sempena Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Beliau berkata, parti itu tidak pernah curang kepada kawannya, sebaliknya berpegang janji dan ketetapan bersama dalam MN yang dimeterai pada September 2019.

“Ia termasuklah tidak pernah setuju menganggotai Perikatan Nasional (PN), walaupun akhirnya didaftarkan secara senyap-senyap tanpa pengetahuan, tanpa persetujuan.

“Namun, siapa sangka belum kering deraian air mata, belum pun reda hilai tawa bersama, kasih yang baharu berputik terpaksa pula dikongsi dengan pihak ketiga.

“Dengan rasa berat hati, kita pasrah pilihan sahabat kita untuk bermadu, walau hati rasa terluka.”

Pada kedudukan sekarang, PAS mempunyai kerjasama dengan Umno menerusi Muafakat Nasional dan dalam masa sama bersama dengan PPBM dalam Perikatan Nasional.

Sebelum ini beberapa pemimpin Umno menggesa parti Islam itu menentukan sama ada mahu bersama Umno atau PPBM menghadapi PRU15.

Asyraf berharap Umno dan PAS dapat berpakat bagi menyelesaikan kekusutan antara kedua-dua parti.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *