Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, 51, menafikan dakwaan mencabul isteri rakan baiknya sebagaimana laporan polis yang dibuat mangsa.

Wan Ahmad Nizam berkata, dakwaan yang dibuat pasangan suami isteri dari Taman Melawati, Ampang, Selangor itu hanya rekaan semata-mata untuk menjatuhkan reputasi dan mengaibkan dirinya. 

Sebelum ini telah tular di media sosial tentang polis sedang mengesan saksi berkaitan seorang ahli politik bergelar Datuk bagi membantu siasatan kes cabul seorang wanita di sebuah rumah di Taman Melawati.

Menurut sumber, individu terbabit bersama isterinya dipercayai datang bermalam di rumah mangsa dan suaminya antara Julai hingga 15 Ogos 2020.

Sumber turut memberitahu bahawa suami mangsa merupakan kenalan kepada isteri Datuk tersebut.

“Suspek bersama isterinya tumpang bermalam setelah datang melawat mangsa dan suaminya di rumah berkenaan.

“Pada mulanya mangsa menyangkakan perbuatan itu dilakukan oleh suaminya namun mangsa terkejut apabila mendapati ia dilakukan suspek,” katanya.

Katanya, mangsa pada awalnya tidak membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan dirinya dan suami.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak ketika dihubungi mengesahkan mengenai laporan polis yang dibuat pada 16 Mac lalu.

“Kes ini masih dalam siasatan dan kita akan kesan saksi yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *