Armada kesal Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 yang berakhir semalam menjadi medan menghentam parti tersebut.
Ketuanya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata hentaman yang lantang datang dari gabungan sendiri merupakan sesuatu tindakan yang tidak masuk akal.
“Lebih lucu lagi apabila ada anggota pentadbiran yang begitu kanan lantang mengkritik pasukan sendiri.
“Hakikatnya, persada politik Malaysia tidak lagi punya sebuah parti yang mempunyai hegemoni.
“Terus mengungkit kegemilangan masa silam ini tidak ubah seperti menggapai-gapai bintang, takkan jatuh di riba,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Beliau berkata, secara lumrahnya politik sesebuah negara hanya akan stabil jika ada sebuah teras yang utuh.
Menurutnya, fungsi itu kini dimainkan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang mewakili aspirasi rakyat Malaysia seluruhnya.
Sehubungan itu, tegasnya Armada memandang serius keghairahan sesetengah pihak untuk bermain politik, sedangkan apa yang rakyat perlukan ialah kestabilan dan usaha berterusan untuk meringankan beban akibat wabak Covid-19 ketika ini.
“Retorik politik yang tidak berkesudahan tidak akan membantu sesiapa, malah bisa mengganggu khidmat kerajaan kepada rakyat.
“Sekarang ialah masanya untuk bekerja. Fokuslah kepada agenda kerajaan yang telah merumuskan serta sedang melaksanakan pelbagai inisiatif untuk membantu rakyat.
“Armada bangga menjadi sebahagian daripada inisiatif-inisiatif tersebut, terutama pada masa wabak ini dan akan meneruskan kerja demi kesejahteraan rakyat seluruhnya,” ujarnya.
Tambahnya, medan politik sebenar ialah pilihan raya namun waktunya bukan sekarang.
“Walau apapun kemungkinan, Bersatu sentiasa bersedia tanpa sebarang keraguan,” katanya. – MP