Timbalan Ketua AMK Terengganu, Wan Muhamad Haikal Wan Ghazali kesal dengan kenyataan Majlis Pimpinan Negeri PKR Terengganu (MPNT) yang tidak membela atau memberikan sokongan moral kepada Srikandi parti itu, Yuslaini Azmi.

Beliau berkata, Majlis Pimpinan PKR negeri juga cuba memberi persepsi buruk kepada Yuslaini dengan mengatakan bahawa Srikandi Keadilan itu sedang disiasat di bawah Akta Hasutan di mana dakwaan itu katanya adalah tidak benar.

Malah katanya, sikap yang ditonjolkan Majlis Pimpinan negeri seolah-olah mahu mencuci tangan ketika pimpinan sayap parti sendiri ditimpa masalah.

PKR memaklumkan, hasil semakan dari Daftar Pimpinan Negeri PKR Terengganu 2018-2021 yang dikemaskini sehingga 15 Januari tahun ini mendapati, Yuslaini tidak pernah dilantik sebagai penyandang jawatan Ketua Srikandi Negeri atau Ketua Biro Wanita Muda AMK Negeri, sebagaimana yang didakwa.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa Yuslaini telah ditahan oleh pihak PDRM di bawah Akta Hasutan untuk siasatan lanjut.

Sementara itu Muhamad Haikal menegaskan, salinan laporan polis berhubung dakwaan mencabul, dipercayai telah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang ingin mempolitikkan isu tersebut.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *