PARTI Amanah merayu kepada Yang Dipertuan Agong dan Lembaga Pengampunan agar menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak diberi pengampunan sekali gus dibebaskan dari penjara.
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad berkata, Amanah berpendirian, hanya dengan cara itu sahaja nama baik negara dan komitmen untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa dapat dijaga.
“Dengan penuh hormat dan takzim, kami dari Parti Amanah Negara ingin merayu kepada YDPA dan Lembaga Pengampunan supaya permohonan pengampunan ini ditolak dan DS Najib terus dipenjarakan atas sebab kesalahan yang jelas telah beliau lakukan.
“Hanya dengan itu akan rakyat yakin bahawa kerajaan perpaduan dan Institusi Raja-raja Melayu, bersama YDPA, ingin menyelamatkan negara kita dari pandemic rasuah dan salah guna kuasa yang melandanya sekian lama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Esok, Lembaga Pengampunan akan bersidang bagi menentukan sama ada akan memberikan pengampunan kepada bekas Perdana Menteri itu atau sebaliknya.
Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selain denda RM210 juta setelah Mahkamah Persekutuan mendapati beliau bersalah dalam skandal SRC International.
Mengulas lanjut, Khalid berkata, sebarang keputusan yang melibatkan Najib pastinya akan menarik perhatian bukan sahaja di Malaysia, malah di negara luar.
Katanya, keputusan tersebut bakal menetapkan batu tanda yang penting dalam sejarah negara.
“Adalah diharap pandangan ini apabila disuarakan akan membantu YDPA untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, institusi raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya.
“Ianya akan memberi pertanda sejauh mana perjuangan menentang rasuah dan salah guna kuasa diambil serius atau sekadar cogan kata politik dan pilihan raya sahaja,” katanya.
Ditanya, kenapa selama ini Amanah hanya membisu mengenai perkara ini, Khalid menjelaskan bahawa Amanah mengakui hak mutlak pengampunan adalah milik Yang di Pertuan Agong.
“Dalam pada itu, ramai yang bertanya, apa pendirian Amanh sebagai rakan kongsi dalam Kerajaan Perpaduan melalui Pakatan Harapan dalam isu ini.
“Kami ingin tegaskan bahawa Amanah mengakui dan mengiktiraf, pengampunan adalah hak mutlak YDPA.
“Namun demikian, tiada salahnya untuk Amanah memberi pandangannya terhadap isu ini.
“Adalah diharap pandangan ini apabila disuarakan akan membantu YDPA untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, institusi raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya,” katanya.
Khalid juga menegaskan, Amanah berpendapat, pengampunan Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara negara ini dan juga kepada seluruh dunia berhubung sikap dan pendirian kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
“Apakah memberikan pengampunan kepada orang yang telah memalukan negara di serata dunia akan menunjukkan sikap tegas dan tiada kompromi kita terhadap rasuah?
“Sudah pasti tidak!
“Sebaliknya ianya akan memberikan isyarat salah bahawa perang rasuah hanya cogan kata kosong untuk kepentingan politik dan akhirnya semua akan kembali seperti biasa,” katanya. – Malaysiapost