KOTA KINABALU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir daripada Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Khamis mengumumkan keluar parti atas alasan Warisan masih mengutamakan politik berbanding kesejahteraan rakyat.
Katanya, beliau kini seorang ADUN Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri Sabah di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta kepimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor.
“Saya melihat perkara yang diperlukan oleh negara pada hari ini adalah kestabilan politik. Kestabilan ini penting untuk memastikan kerajaan dapat memberikan sepenuh perhatian dalam menangani Covid-19 dan menjaga kesejahteraan rakyat.
“Saya amat berdukacita melihat pendirian Parti Warisan yang dilihat masih bermain dengan rentak politik Pakatan Harapan (PH) yang mengutamakan kepentingan politik berbanding kesejahteraan rakyat yang terbeban dengan isu Covid-19.” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama di sini pada Khamis.
Susulan tindakan Hassan A Gani menyokong GRS, gabungan itu yang dianggotai parti komponen Perikatan Nasional, Barisan Nasional dan Parti Bersatu Sabah kini memiliki sokongan 48 ADUN daripada keseluruhan 79 ADUN negeri tersebut.
Hassan A Gani berkata, antara punca yang amat mengecewakan dirinya ialah tindakan Warisan menolak Belanjawan 2021 di Parlimen yang menurut beliau jelas membelakangkan kepentingan rakyat terutama dalam usaha menangani Covid-19.