Ismail Sabri boleh tersenarai sebagai senior dalam politik dengan pengalaman pelbagai jawatan di peringkat negeri Pahang dahulunya dan Kerajaan Persekutuan sebelum menjadi Perdana Menteri.

Malangnya, beliau menjadi PM bagi tempoh tersingkat dalam sejarah Malaysia apabila cuma di jawatan itu selama 13 bulan. Sedangkan dia memiliki tempoh minimum 20 bulan untuk di jawatan itu.

Semuanya gara-gara beliau mengikuti telunjuk dan tunduk kepada desakan berkepentingan daripada diktator dalam partinya sendiri. Akhirnya terlihat, beliau hanya boneka yang diperalat guna bagi mencapai tujuan dan oleh mereka tertentu.

Sebab itu sejak pembubaran Parlimen 10 Oktober lalu, di media massa Ismail dilihat sering ada sama Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi. Ismail bukan sahaja ‘ditumpangi’, tetapi dia juga ‘ditunggangi’.

Kelemahan Ismail Sabri itu bukan sahaja dimomok atau diperkatakan daripada pelbagai pihak, bahkan ternyata menjadi rekod pentadbiran beliau. Berikut disenaraikan tujuh daripadanya:

1. Desakan UMNO
Ismail dikritik lemah oleh para pimpinan dan ahli-ahli partinya walaupun beliau sendiri adalah Naib Presiden UMNO. Malah, naiknya beliau ke jawatan PM dengan ‘menjatuhkan’ PM sebelumnya, Muhyiddin Yassin adalah percaturan UMNO. Ini bermakna beliau lemah memenuhi nafsu rakus UMNO dan menunjukkan UMNO dipenuhi kalangan berkepentingan sempit. Hingga wujud suara desakan mahu menggunakan beliau untuk campur tangan dalam sistem kehakiman dan mencatur jawatan tertentu. Lemah gemalainya Ismail menghadapi desakan parti hingga beliau meremehkan kepentingan negara dan rakyat apabila membubar institusi penting iaitu Parlimen bagi menghadapi PRU15 dalam musim tengkujuh. Bukan sahaja rakan politik dan rakyat meluah kekecewaan, hatta Yang di-Pertuan Agong juga.

2. Angkat diri sendiri
Ismail Sabri sepanjang tempoh sebagai Perdana Menteri menerima terlalu sedikit pujian atau senarai rekod positif pencapaian pentadbirannya. Terlalu sedikit kredit diberikan para penganalisis, pakar, pengkaji, ahli akademik, apatah lagi ahli politik. Hanya sedikit rakan politik yang berusaha membela beliau, itupun kerana mahu menjaga kestabilan politik dan kelangsungan kerajaan. Hinggakan Ismail dilihat sering kali terpaksa mengulangi inisiatif diadakannya dulu-dulu. Juga terpaksa memuji-muji sendiri tindakan dibuatnya. Sedangkan beliau dikritik pula gagal memenuhi janji-janji dipersetujui dengan rakan gabungan politik. Paling sadis, beliau seakan merayu pelbagai pihak terutama media untuk menjawab pelbagai serangan ke atas pentadbirannya. Menunjukkan lemahnya beliau kerana tidak didukungi oleh jentera yang padu.

3. Persepsi rasuah
Terdapat beberapa kecurigaan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa terdedah, tetapi Ismail dilihat teragak-agak dan lengah. Walaupun beliau secara lisan menyatakan ketegasan memerangi jenayah itu, tetapi tidak selari dengan tindakannya yang lambat dan dilihat lemah. Kes-kes mahkamah berprofil tinggi melibatkan beberapa politikus yang mempunyai hubungan dengannya dilihat penuh bolak-balik. Kesangsian terhadap kes gempar seperti Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan konglomerat lain dilihat masih terawang-awang untuk dimuktamadkan penyelesaian. Bos Besar Ismail pula dibebas lepas daripada pertuduhan 40 kes rasuah hingga mengejutkan banyak pemerhati yang mengikuti kes itu. Malah, kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah kian memburuk semasa pentadbiran Ismail.

4. Data dan akaun diceroboh
Satu isu yang sangat membelenggu dan heboh dalam kalangan rakyat adalah mengenai data peribadi pengguna bocor kepada pihak tidak bertanggungjawab. Ia memungkinkan salah guna untuk pelbagai kepentingan jahat atau kegiatan menyimpang termasuk jenayah. Ianya menjadi satu isu pencerobohan privasi, di mana ketika sama berkembang kejadian penipuan atas talian membabitkan hak milik melebihi bilion ringgit oleh kegiatan ‘scammer’. Tiada usaha holistik atau jihad dilancarkan Ismail terhadap masalah ini. Tragedi paling buruk dan malang apabila akaun Telegram peribadi milik Ismail Sabri sendiri digodam pihak penceroboh. Siapa diharapkan jaga rakyat jika PM pun boleh kena ‘hack’ kan? Netizen sampai tak tahu nak nangis atau ketawa.

5. Barang naik dan habis
Kenaikan harga barang telah menjadi sesuatu yang tidak pernah reda di bumi Malaysia. Keadaan bertambah parah dengan situasi dunia yang baharu memulih daripada pandemik COVID-19, selain faktor global seperti perubahan iklim dan fenomena cuaca serta peperangan. Namun, berlakunya semasa pentadbiran Ismail semakin ketara dan kerap, sedangkan tiada inisiatif padu Ismail untuk mengekangnya sebagaimana pelbagai Pakej Rangsangan Ekonomi dilakukan Muhyiddin. Lebih mengharukan apabila banyak keperluan menjadi tidak cukup hingga kehabisan bekalan seperti isu ayam dan telur sebelum ini. Kerana beliau berada di persimpangan antara membela rakyat atau menjaga kepentingan kroni UMNO yang walaupun permit import (AP) dihapuskan, tetapi pemonopoli dan pembolot adalah sekutu juga.

6. Ringgit jatuh, pelabur ragu-ragu
Walaupun dunia menerima kesan dari pandemik COVID-19, tetapi semasa pentadbiran Muhyiddin berjaya mengimbangi keadaan dan meyakinkan pelabur atas usaha atau pelan pemulihan diadakan. Malaysia semasa Muhyiddin berjaya menarik nilai pelaburan hampir RM100 bilion. Namun kelemahan begitu ketara di masa Ismail Sabri di mana pelabur seperti ragu-ragu dengan pentadbirannya yang dilihat mewakili UMNO-BN kerana telah punya ‘rekod lampau’. Akibatnya momentum Muhyiddin gagal diikuti Ismail dan pakar-pakar ekonomi seperti menjauhi beliau. Malah, para pelabur ragu-ragu seperti lebih awal menganalisis bahawa Ismail hanya boneka dan akan segera membubar Parlimen. Keadaan lebih teruk apabila sehingga kini pentadbiran Ismail gagal memulihkan kejatuhan nilai Ringgit.

7. Belanjawan 2023 fatamorgana
Ketika seluruh negara berura-ura dengan pembubaran Parlimen, tetapi Ismail berulang kali sejak pertengahan tahun 2022 menafikannya. Malah, sehingga persidangan Parlimen berlangsung pada 2 Oktober, namun dibubarkan Parlimen pada tanggal Isnin, 10 Oktober. Anehnya, negara menyaksikan pada Jumaat, 7 Oktober 2022 telah dibentangkan Belanjawan 2023. Jika Ismail telah mengadakan perancangan sedemikian hanya untuk tempoh berselang tiga hari, mengapa beliau mahu Belanjawan dibentangkan tanpa diluluskan. Ini menjadikan Belanjawan dibentang itu satu kepalsuan atau ‘fake’ hanya untuk menjadi satu fatamorgana kepada rakyat. Wajar sekiranya mahu dikatakan bahawa Ismail cuba menipu!

Memadai disenaraikan tujuh kelemahan yang terserlah sedikit daripada diri Ismail Sabri dari terlondeh lebih memalukan. Di mana beliau kini sedang diperalatkan semahunya oleh jentera UMNO-BN untuk kempen PRU15, sedangkan untuk beliau menjadi Perdana Menteri belum pasti.

Ini kerana ada ‘remote control’ besar dalam UMNO yang sedang menjaja ke sana sini melelong tawaran jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada pelbagai pihak. Tak mungkin orang bawah akan tawar jawatan sebesar itu, melainkan beliau mempunyai cita-cita di jawatan lebih atas daripada itu.

Tolak boneka! Tolak Zahid!

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *