Kekhilafan yang dicipta sendiri tidak seharusnya dikaitkan dengan ajaran agamawan dalam mempertahankan diri yang telah tersalah langkah.
Itu nasihat pendakwah, Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang kurang senang dengan tindakan seorang selebriti yang masih mahu menegakkan benang yang basah meskipun jelas terkhilaf.
“Betul ke dapat kumpul pahala berganda-ganda 10 malam terakhir kerana masalah yang dicipta sendiri?
“Teruja berita pandangan seorang artis mengenai majlis yang dicipta sendiri, apabila menjadi viral dan menimbulkan masalah, sedap dia berkata, pahala dapat berganda-ganda disebabkan dugaan majlis tersebut.
“Ustaz mana yang artis ini rujuk pahala berganda-ganda ini? Nak juga saya tahu nama ustaz itu untuk saya bertanya lanjut,” katanya di Facebook, hari ini.
Menurut Ridhuan Tee, perkara itu perlu dihentikan dan orang Islam sepatutnya berhati-hati mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan orang lain.
“Sendiri yang buat hal, sendiri pula mengaku dapat meraut pahala berganda-ganda, menggunakan nama ustaz. Budaya seperti ini perlu dihentikan. Memetik nama agamawan untuk cover diri ini tidak berapa molek.
“Konteks dan teks berbeza. Dugaan yang dicipta sendiri, berbeza dengan dugaan sebenar. Hanya Tuhan yang tahu. Orang beranak juga, tetapi tidak seriuh ini.
“Saya bersependapat dengan Mufti Perlis, yang dalam kiasnya, soal keutamaan, antara menziarahi ibu bapa atau memenuhi undangan artis. Dalam Islam, kena fahami fiqh awlawiyyat atau fiqh memahami keutamaan, sebelum mengeluarkan sesuatu kenyataan,” katanya.
Tanpa menyebut nama selebriti tersebut, namun sindiran Ridhuan Tee dipercayai ditujukan kepada penyanyi tersohor negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Taruddin yang terpalit kontroversi susulan mengadakan majlis tahnik anak keduanya baru-baru ini.
Majlis tahnik itu mendapat perhatian netizen yang mempertikaikan kehadiran agamawan, didakwa telah melanggar SOP dengan merentasi negeri selain ia disifatkan sebagai tidak patut diberi keutamaan untuk hadir ke majlis itu.
Justeru, Ridhuan Tee berharap perkara itu tidak berlaku lagi terutama ketika negara berdepan dengan ancaman Covid-19 ketika ini.
“Bayangkan dengan kehadiran sedemikian boleh memberikan mudarat kepada orang lain. Siapa yang akan dipersalahkan nanti? Sudah takdirkan?
“Ingatan saya, hentikan budaya mencari publisiti ini. Tidak semua perkara perlu diberitahu kepada khalayak. Bila timbul masalah, jawapan simplistik, dugaan, pahala berganda-ganda dapat. Siapa yang kata? Siapa yang dirujuk?,” katanya.
Kelmarin, menerusi entri di Insta Story miliknya, Siti Nurhaliza memberitahu dia berpegang kepada kata-kata seorang ustaz yang mana apabila diuji dengan ujian, individu tersebut akan dibalas dengan pahala yang berganda.
“Alhamdulillah, saya patut tengah seronok ni, kumpul pahala banyak-banyak sepuluh malam terakhir ni.
“Kata ustaz bila berhadapan dengan dugaan ni.. betullah ustaz, dapat pahala free berganda-ganda pula tu. Alhamdulillah,” tulisnya.
Sebelum ini, Siti Nurhaliza dihujani kecaman netizen selepas didakwa menjemput beberapa pendakwah bebas dari negeri lain ke majlis tahnik anak lelakinya.