NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah menzahirkan kekecewaan terhadap Barisan Nasional (BN) kerana tidak mengendahkan amaran musibah banjir dengan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada musim tengkujuh.

Menerusi hantaran di Facebooknya, Nurul Izzah berkata, beliau terpaksa membatalkan semua program ceramahnya malam tadi selepas rumah penduduk di Mengkuang Titi, Permatang Pauh, dinaiki air.

“Mulai jam 6 petang tadi (semalam), semasa saya di Pasar Ban Busuk, hujan turun tanpa henti di Permatang Pauh. 

Saya telah mengarahkan agar semua ceramah yang telah diaturkan malam ini (tadi) dibatalkan apabila saya mendapat maklumat ramai warga Permatang Pauh yang dilanda banjir,” katanya.

Beliau yang turun padang melawat penduduk terjejas, memaklumkan  seramai 30 keluarga di Mengkuang Titi terpaksa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Katanya, beliau sudah mengatur gerak kerja membantu mangsa banjir termasuk menyegerakan pemberian makanan dan ubat-ubatan buat mereka. 

“Saya pernah nyatakan sebelum ini, keputusan membuat pilihan raya ketika musim tengkujuh akan meletakkan rakyat dalam situasi yang sukar.

“Saya kesal dengan pimpinan kerajaan BN-PN yang tidak mengendahkan amaran yang telah lama diberi berkenaan musibah banjir yang bakal melanda pada saat ini,” katanya.

Sebelum ini, keputusan BN mengadakan PRU15 menerima kritikan daripada Pakatan Harapan (PH) yang mendakwa ia tidak sesuai diadakan kerana menghampiri musim tengkujuh.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *