NAIB Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar dijangka bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang akan datang.

FMT dalam laporannya yang memetik sumber berkata, bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga akan dilantik ke jawatan penting di Pulau Pinang sekiranya Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan.

Sumber yang enggan dinamakan berkata, penyertaan Nurul Izzah dalam PRN itu boleh meningkatkan peluang partinya untuk mengekalkan kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membantu mendapatkan undi daripada golongan wanita.

“Beliau akan diamanahkan dengan portfolio penting dalam pentadbiran negeri sekiranya PH mendapat mandat daripada rakyat Pulau Pinang,” katanya, lapor FMT.

Bagaimanapun, kerusi DUN yang bakal ditandingi Nurul Izzah masih lagi belum diketahui.

Terdapat 40 kerusi di DUN Pulau Pinang.

Pulau Pinang dijangka membubarkan DUN pada minggu ketiga atau keempat bulan depan.

Selangor, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan juga dijadual membubarkan DUN mereka dalam dua minggu terakhir Jun ini.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Nurul Izzah gagal mempertahankan kerusi Parlimen Permatang Pauh yang dimenangi calon PAS, Muhammad Fawwaz Mohamed, dengan majoriti 5,272 undi dalam pertandingan empat penjuru. FMT

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *