Tan Sri Noh Omar tekad untuk menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Tanpa berselindung Noh memaklumkan, beliau berkorban hampir 30 tahun untuk menjadikan Parlimen itu salah satu kubu kuat Umno dan Barisan Nasional (BN).

“Kita tidak pernah kalah (di Tanjong Karang) sebelum ini. Tetapi apabila orang Umno (termasuk orang luar) yang nak menghancurkan parti, bagi saya silakan datang ke Tanjong Karang.

“Saya akan berusaha untuk menjadikan Tanjong Karang sebagai kubu kuat PN. Itu perjuangan saya,” katanya kepada Harian Metro.

Pada 27 Januari lalu, Noh yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang digantung keahlian selama enam tahun menerusi keputusan dibuat Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno.

Bagaimanapun, beliau meminta untuk dipecat dan permintaan itu dipersetujui Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Jangan sebab benci saya, Umno Tanjong Karang jadi mangsa. Jangan jadikan Tanjong Karang yang saya bangunkan selama 30 tahun sebelum ini kembali berpecah belah,” katanya.

Dalam pada itu, Noh menasihatkan ahli politik yang dilihat begitu ghairah mengutuk beliau selepas dipecat daripada parti.

“Bila saya bercakap, ada yang di luar sana mengutuk. Nak beritahu, jangan kutuk kerana besok kamu akan terima nasib yang sama seperti saya… bila tukar pemimpinlah,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *