Geng 18 dan 21 merusuh, empat lelaki ditahan

KLANG – Polis memberkas empat lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian merusuh oleh dua kumpulan iaitu Geng 18 dan 21 di taman perumahan di Klang Utama, di sini pada Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kesemua suspek berusia antara 20-an hingga 40-an ditahan reman selama empat hari bermula Isnin hingga Khamis ini bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati, kesemua suspek yang ditangkap itu mempunyai rekod jenayah melibatkan kes kekerasan, samun dan mendatangkan cedera,” katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Nurulhuda berkata, siasatan mendapati kejadian itu berpunca daripada ketidakpuasan hati kedua-dua kumpulan kerana melaporkan kejadian gaduh melibatkan kumpulan lain menyebabkan rakan mereka telah ditangkap dan dipenjarakan.

Beliau berkata, polis masih mengesan beberapa suspek yang masih bebas yang terlibat secara langsung di dalam kes tersebut.

“Kita meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan empat lelaki dikenali sebagai Daniel Arvind Peter, 23, V Mahendran, 38, G Balamurugan, 27, dan G Navaratnam, 29, boleh menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Nurulhuda memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 326/148 Kanun Keseksaan.

Pada Jumaat lalu, polis telah menerima satu laporan daripada seorang lelaki berusia 59 tahun yang mendakwa anaknya ditetak ketika berada di luar rumah oleh sekumpulan lelaki pada jam 4 pagi.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan luka di tangan, kepala dan badan akibat diserang dengan menggunakan senjata tajam.

▶️Sinar Harian

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published.