Kumpulan pembaharuan pilihan raya, BERSIH 2.0 berkata, Ahmad Maslan dan Nga Kor Ming perlu meletak jawatan dalam parti masing-masing, jika mereka dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Katanya, peletakan jawatan itu penting supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dilihat benar-benar bebas daripada pengaruh kepartian, bersikap adil dan dapat menumpukan perhatian terhadap isu di Dewan Rakyat serta menguatkuasakan peraturan mesyuarat tanpa sebarang ketakutan atau kepentingan.

“ BERSIH 2.0 ingin bertanya dan menggesa, sama ada Ahmad atau Nga bersedia meletak jawatan atau sekurang-kurangnya mengambil cuti di dalam parti politik masing-masing, jika dilantik menjadi timbalan speaker kerana kedua-duanya memegang jawatan utama dalam parti mereka,” katanya dalam kenyataan.

Difahamkan, pihak kerajaan akan mencalonkan Ahmad sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi mengisi jawatan yang dikosongkan Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said, manakala blok pembangkang dilapor akan mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan.

BERSIH 2.0 berkata, sekarang adalah waktu paling tepat untuk ahli Dewan Rakyat melantik Yang Dipertua dan timbalannya dengan semangat rentas parti.

Katanya, jawatan mulia itu tidak harus dilihat sebagai monopoli parti dalam kerajaan, lebih-lebih lagi untuk menunjukkan kekuasaannya terhadap parti pembangkang yang juga sebahagian daripada Dewan Rakyat.

“Sebaliknya, pelantikan Yang Dipertua dan timbalannya harus bersemangat rentas parti untuk memperkasakan Parlimen dan menjadikan Parlimen lebih bebas untuk menyemak dan mengimbang eksekutif.”

Ia juga mahu Ahmad dan Nga mengemukakan kerangka serta isu reformasi Parlimen yang akan mereka bawa sepanjang tempoh perkhidmatan mereka, sekiranya dipilih menjadi Timbalan Speaker Dewan Rakyat.

Selain bersikap adil, katanya, Yang Dipertua dan timbalannya perlu dilantik daripada kalangan mereka yang tiada rekod jenayah atau rasuah dan berintegriti.

“Timbul juga kebimbangan sekiranya Ahmad menggunakan sidang Parlimen yang mulia sebagai alasan untuk menangguhkan perbicaraan mahkamah beliau, yang sekali gus mencemarkan kesucian Parlimen.

“ BERSIH 2.0 menegaskan pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya bukan penjaga pintu kepada eksekutif untuk menahan usul atau rang undang-undang, atau mengehadkan ucapan wakil rakyat, terutamanya pembangkang.

“Jawatan tersebut perlu dilaksanakan dengan adil dan perlu meraikan suara wakil rakyat yang terdiri daripada berbilang parti,” katanya.

By Ostad

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *