Najib Razak menyindir tindakan Ahli Parlimen Kuala Langat (PKR) Datuk Dr Xavier Jayakumar mengumumkan keluar parti yang berkemungkinan berkait rapat dengan skandal rasuah dihadapi oleh pegawai kanannya bulan lalu.

“Pagi ini, bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli PH umum keluar parti PKR untuk sokong kerajaan PN.

“Secara kebetulan bulan lepas, YB ini dikaitkan dengan kes SPRM pembantunya serta kawan baiknya ditahan berkait kes rasuah di mana wang tunai RM1.2 juta disita, RM77 juta dalam akaun-akaun bank dibeku dan beberapa buah kereta mewah di rampas,” katanya di Facebook, hari ini.

Bulan lalu, Pegawai kanan Xavier yang juga pemimpin kanan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak ditahan SPRM bersama dua pengarah syarikat di Ipoh berhubung siasatan kes rasuah bernilai jutaan ringgit melibatkan kementerian itu semasa pentadbiran Pakatan Harapan.

Terdahulu, Xavier mengumumkan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus melepaskan jawatannya sebagai Naib Presiden parti itu.

Menurutnya, keputusan meninggalkan PKR kerana kecewa dengan tindakan pucuk pimpinan yang terlalu asyik membincangkan agenda Pilihanraya Umum, sepatutnya bukan menjadi keutamaan parti itu ketika ini.

Sementara itu, Xavier turut menyatakan pendiriannya sebagai Ahli Parlimen Bebas menerusi satu surat bertarikh 12 Mac 2021 kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan.

Dalam surat itu, Xavier memaklumkan beliau membuat keputusan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan, berkuat kuasa semalam.

“Saya, Datuk Dr Xavier Jayakumar Arulanandam, Ahli Parlimen Kuala Langat ingin memaklumkan bahawa mulai 12 Mac 2021, saya membuat keputusan untuk menjadi seorang Ahli Parlimen Bebas yang menyokong blok kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Pengumuman Xavier itu dibuat 14 hari selepas dua wakil rakyat PKR iaitu Ahli Parlimen Julau, Larry Sng Wei Shien dan Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong Shiau Yoon mengumumkan keluar parti dan menyokong PN dan Muhyiddin, pada 28 Februari lalu. 

By admin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *